This image for Image Layouts addon

Mar 10, 2021 @ 19:53 : Dayak Daily
Hospital Pengajar Unimas dibina dengan kos kontrak RM485.9 juta

KUCHING, 10 Mac: Pembinaan Hospital Pengajar dan Pusat Kesihatan Prima (PKP) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Kota Samarahan dengan nilai kontrak RM485.99 juta bakal siap dalam tempoh empat tahun. Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, hospital tersebut akan memiliki kapasiti 300 buah katil. “Ini bakal membantu mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan sedia ada di Sarawak selain memberi akses yang lebih dekat kepada penduduk terutamanya di Samarahan, Padawan, Serian, Sebuyau dan Simunjan. “Tempoh pembinaan bagi keseluruhan projek adalah selama empat tahun,” katanya pada majlis penyerahan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor syarikat Perbena Emas Sdn Bhd di Kuala Lumpur hari ini. Pada majlis itu, Fadillah turut menyerahkan tiga lagi SST kepada kontraktor yang berjaya dengan nilai keseluruhan empat projek ialah RM600 juta. Menurut beliau, projek dibawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi itu merupakan pembangunan infrastruktur dan prasarana serba lengkap, moden dan kondusif. “Cawangan Kerja Pendidikan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah diberi kepercayaan selaku agensi pelaksana kepada projek–projek ini. Mar 10, 2021 @ 19:53 Fadillah (dua dari kiri) menyerahkan SST kepada salah seorang wakil pihak kontraktor. “JKR Malaysia juga bertanggungjawab memastikan pihak kontraktor melaksanakan amanah rakyat dengan berkualiti dan menepati spesifikasi kontrak,” ujar beliau. Tiga projek lain ialah pembinaan Kompleks Sukan Kampus Gong Badak di Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA), Kuala Terengganu dengan kos kontrak berjumlah RM18.89 juta, Pembinaan Pusat Islam dan Pembangunan Insan serta Masjid Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan harga kontrak sebanyak RM11.90 juta. Projek ke-4 ialah Pembinaan Blok Baharu Bagi Kelas Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) serta Lain-Lain Kemudahan Mesra OKU di SMK Mutiara, Wilayah Persekutuan Labuan dengan kos kontrak RM9.96 juta. — DayakDaily
Source
This image for Image Layouts addon

Oct 26, 2022 @ 14:28 : Dayak Daily
Klinik kesihatan di Hospital Pengajar Unimas dijadual siap Mei 2023 – Fadillah

KOTA SAMARAHAN, 26 Okt: Pembinaan Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) secara keseluruhan dijadual siap pada 2025, kata Menteri Kanan Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof. Namun katanya, terdapat permintaan dari Unimas agar klinik kesihatan yang merupakan sebahagian daripada projek dapat disiapkan pada Mei 2023. “Kalau mengikut kontrak, ia dijadual siap pada September tahun hadapan. “Oleh itu saya minta pengarah projek dan Jabatan Kerja Raya serta Unimas untuk berbincang supaya mereka dapat mencari jalan untuk mencapai sasaran pada Mei. “Kalau dapat dilaksanakan, ia bukan hanya memberi manfaat kepada pelajar-pelajar perubatan Unimas tapi orang ramai di kawasan Samarahan,” katanya ketika ditemui dalam lawatan ke tapak projek hari ini. Menurut Fadillah, klinik itu nanti akan menyediakan perkhidmatan pemeriksaan asas kesihatan kepada orang awam. Oct 26, 2022 @ 14:28 Fadillah ketika ditemui di tapak Projek Hospital Pengajar Unimas. Selesai lawatan ke tapak projek, Fadillah seterusnya menghadiri Majlis Penyerahan Peranti Siswa Keluarga Malaysia di DeTAR Putra, Unimas. Seramai hampir 6,500 pelajar Unimas telah diluluskan permohonan untuk mendapatkan Peranti Siswa. Secara keseluruhannya, seramai 7,400 pelajar di negeri ini akan menerima peranti ini dalam masa terdekat. — DayakDaily
Source
This image for Image Layouts addon

Nov 3, 2024 : I Love Borneo
Pusat Kesihatan Prima UNIMAS Dibuka 4 November, Tawar Perkhidmatan Kesihatan Untuk Orang Awam

Pusat Kesihatan Prima UNIMAS Dibuka 4 November, Tawar Perkhidmatan Kesihatan Untuk Orang Awam. Pusat Kesihatan Prima, Hospital Pengajar, dan Pusat Kesihatan Prima Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) akan mula menawarkan perkhidmatan kesihatan kepada orang awam mulai 4 November 2024 (Isnin).

Inisiatif ini membolehkan masyarakat sekitar mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang lengkap dan berkualiti tinggi di UNIMAS.

Perlu membawa kad pengenalan

Orang awam yang ingin mendapatkan rawatan di Pusat Kesihatan Prima perlu membawa kad pengenalan sebagai pengesahan identiti. Bagi penjawat awam pula, mereka dikehendaki membawa kad staf dan Guarantee Letter (GL) bercetak untuk memudahkan proses pendaftaran.

Pusat Kesihatan Prima ini akan beroperasi mengikut jadual berikut:

  • Isnin hingga Khamis: 8.00 pagi – 1.00 petang, 2.00 petang – 5.00 petang
  • Jumaat: 8.00 pagi – 11.45 pagi, 2.15 petang – 5.00 petang
  • Sabtu, Ahad & Cuti Umum: Tutup

Dalam masa yang sama, pihak UNIMAS berharap pembukaan pusat kesihatan ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat dan memperkukuhkan lagi hubungan antara universiti dan komuniti sekeliling.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 082-582050/2051/2052 atau menghantar emel ke hpunimas@unimas.my.

 

Source
This image for Image Layouts addon

Jan 17, 2025 : I Love Borneo
Fasa Pertama Pusat Kesihatan Prima UNIMAS Di Samarahan Sudah Dibuka

Hospital Pengajar Unimas Fasa Pertama Dibuka

Fasa Pertama Pusat Kesihatan Prima UNIMAS Di Samarahan Sudah Dibuka. Sarawak kini selangkah lebih dekat untuk mempertingkatkan standard penjagaan kesihatan selepas pembukaan rasmi fasa pertama Hospital Pengajar Unimas di Prima Health Centre, Rabu lalu (15 Jan).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, memuji kejayaan ini sebagai pencapaian penting dalam usaha pembangunan penjagaan kesihatan negeri.

Fasa Pertama Dibuka, Fasa Kedua Menyusul

“Walaupun hanya fasa pertama yang beroperasi sekarang, fasa kedua akan menyusul untuk meningkatkan lagi kemudahan hospital ini,” ujar beliau dalam ucapannya semasa majlis perasmian.

Abang Johari turut mengucapkan penghargaan kepada kerajaan persekutuan atas kerjasama mereka dalam pembangunan hospital ini. Dengan teknologi terkini yang lengkap, hospital ini dijangka menawarkan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada rakyat Sarawak.

Fokus pada Komuniti Warga Emas

Beliau turut menekankan bahawa hospital ini akan membantu klinik awam dan swasta di kawasan berdekatan, terutama dalam memenuhi keperluan penjagaan kesihatan warga emas.

“Populasi kita akan terdiri daripada 16 peratus warga emas berumur 60 tahun ke atas tidak lama lagi. Penjagaan kesihatan yang baik dan berkesan amat diperlukan,” katanya.

Menurut beliau, teknologi canggih kini mampu membantu menambah baik rawatan, terutamanya untuk komuniti yang semakin menua.

Teknologi Masa Depan dalam Penjagaan Kesihatan

Abang Johari juga berkongsi wawasan tentang kemajuan perubatan masa depan, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan peranti bioperubatan untuk menawarkan solusi penjagaan kesihatan yang lebih baik.

“Saya telah diberi taklimat tentang teknologi baharu seperti X-ray canggih dan peranti digital yang mampu memberikan keputusan tepat secara efisien,” katanya.

Beliau menambah, “Masa depan penjagaan kesihatan mungkin membolehkan AI menganalisis data kesihatan peribadi, mengenal pasti punca penyakit, dan memberi kaedah rawatan terbaik.”

Biasiswa Khas untuk Kajian Perubatan

Mengakhiri ucapannya, Abang Johari menyatakan bahawa kerajaan Sarawak bercadang untuk memperkenalkan biasiswa khas untuk kajian perubatan sekiranya pendapatan negeri terus meningkat.

“Jika pendapatan Sarawak meningkat, kita akan kongsi dengan rakyat, termasuk melalui biasiswa untuk anak-anak kita yang ingin menjalankan kajian dalam bidang perubatan,” katanya penuh optimis.

 

Source
This image for Image Layouts addon

2 Mac 2022, 5:10 pm : Utusan Malaysia
Hospital Pengajar Unimas 300 Katil Siap 2023

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di sini, kini dalam sedang menyiapkan kerja-kerja pembinaan hospital pengajar berkapasiti 300 katil yang dijangka siap 2023. Naib Canselor Unimas, Prof. Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, hospital pengajar tersebut kelak akan mewujudkan satu situasi menang-menang kepada penduduk Sarawak terutamanya bagi mendapatkan perkhidmatan dan nasihat perubatan yang ditawarkan. “Hospital pengajar ini bukanlah pesaing kepada pusat perubatan yang lain, malah, ia merupakan komplimentari kepada yang sudah lama beroperasi. “Justeru, apabila siap nanti ia akan menonjolkan bahagian selatan Sarawak sebagai hab perubatan yang unggul di Kepulauan Borneo selain sebagai pusat pendidikan yang cemerlang,” katanya. Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Unimas dan Normah Medical Specialist Centre (NMSC) di universiti berkenaan di sini, hari ini. Beliau menjelaskan bahawa kerja-kerja pembinaan hospital berkenaan sedang giat dijalankan dan dijangka siap pada 2023. Antara objektif utama MoU ini adalah untuk menjalinkan kerjasama dari segi perkhidmatan kepakaran dan pendidikan perubatan selain meneroka peluang untuk bekerjasama dalam bidang penyelidikan. “MoU tersebut diadakan bagi meneruskan kerjasama yang utuh di antara kedua-dua pihak yang telah lama terjalin. “Kali terakhir MoU itu ditandatangani adalah pada tahun 2015,” tambahnya. Pada masa yang sama, beliau turut berharap MoU tersebut saling memperkukuhkan hubungan kedua-dua pihak dan seterusnya menyemarakkan lagi perkhidmatan kesihatan di Sarawak menerusi jalinan kerjasama perkhidmatan klinikal, pendidikan perubatan dan penyelidikan. Kata beliau, Unimas telah berjaya melahirkan 59 orang doktor pakar semenjak 2007. Pada majlis tersebut Mohamad Kadim mewakili Unimas manakala NMSC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr. Au Yong Kien Hoe.

Source